RANAU, 9 Januari 2026 – Satu kejadian jambatan runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Kawiyan, Ranau sekali gus menjejaskan laluan utama penduduk setempat untuk mendapatkan keperluan asas.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 1.07 tengah hari.
Jambatan berkenaan merupakan kemudahan penting yang digunakan penduduk kampung sebagai laluan utama keluar masuk kawasan berkenaan.
Susulan laporan diterima, sepasukan anggota APM Ranau telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan awal.
Bagaimanapun, pasukan berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan ke lokasi selepas menempuh jarak kira-kira 12 kilometer berikutan keadaan jalan yang masih dalam proses 0pembaikan serta faktor jalan bertanah liat yang licin akibat cuaca hujan.
Keadaan tersebut menyukarkan pergerakan kenderaan dan berisiko terhadap keselamatan anggota bertugas.
Atas pertimbangan keselamatan pasukan APM Ranau terpaksa berpatah balik dan menangguhkan pemantauan lanjut ke lokasi kejadian.
APM Ranau memaklumkan situasi akan terus dipantau dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Ranau.
TAMAT
