ADUN Dipanggil SPRM Bantu Siasatan Kes Rumah SMJ Elopura.

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN,8 JANUARI 2026-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura, Calvin Chong Ket Kiun menegaskan bahawa kes penahanan dan siasatan terhadap seorang pegawai UPPM di kawasan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sandakan adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurut beliau, sebarang dakwaan salah laku atau penyalahgunaan kuasa, khususnya yang melibatkan bantuan kepada rakyat perlu disiasat secara menyeluruh, telus dan berintegriti bagi memastikan kepentingan awam terus terpelihara.

Calvin Chong berkata, beliau sendiri telah dipanggil SPRM sebelum ini dan telah memberikan taklimat serta maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dalam pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ) di DUN Elopura.

“Tindakan ini selaras dengan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk memastikan kepentingan rakyat dilindungi dan kebenaran ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan pendiriannya yang jelas bahawa tiada sebarang toleransi terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, mana-mana individu tanpa mengira jawatan atau kedudukan perlu dikenakan tindakan undang-undang yang tegas dan adil sekiranya didapati bersalah berdasarkan bukti kukuh.

Dalam pada itu, beliau mengambil maklum laporan media mengenai pendedahan serta cadangan SPRM Sabah untuk memperkukuh tatakelola Program RMSMJ yang disifatkannya wajar diberi perhatian serius kerana melibatkan penggunaan dana awam dan kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan perumahan.

Calvin Chong menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan SPRM Sabah termasuk pengetatan syarat kelayakan pemohon, kawalan lebih ketat terhadap pemilikan dan penggunaan rumah, larangan pemindahan hak milik secara tidak sah serta pemantauan menyeluruh sebelum, semasa dan selepas pembinaan.

“Langkah-langkah ini bukan bertujuan menyukarkan rakyat sebaliknya memastikan keadilan dan ketelusan dalam pelaksanaan program bantuan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua kementerian dan jabatan berkaitan agar meneliti serta melaksanakan syor penambahbaikan tersebut secara serius bagi menutup sepenuhnya ruang penyelewengan, salah guna kuasa dan manipulasi dalam sistem pentadbiran.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk penjawat awam, pemimpin masyarakat dan rakyat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai bukti berkaitan salah laku.

Sebagai ADUN Elopura, Calvin Chong menegaskan komitmennya untuk terus memantau pelaksanaan program kerajaan di kawasan itu bagi memastikan setiap bantuan disalurkan secara telus, adil dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat dan tadbir urus yang bersih di Sabah.

TAMAT

Share This Article