Henti Sebar Fitnah, Jangan Politikkan Pelantikan Hazem Mubarak – Pemerhati Politik

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,6 JANUARI 2026-Semua pihak diseru agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan dan fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan berhubung pelantikan Hazem Mubarak Musa sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera.

Pemerhati politik, Hj. M. Ridzal menegaskan, pelantikan Hazem adalah selari dengan prinsip tadbir urus korporat memandangkan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera merupakan syarikat berkaitan yang beroperasi sebagai satu entiti bersama.

“Sudah menjadi ketetapan dalam struktur pengurusan bahawa individu yang dilantik sebagai Pengerusi Sawit Kinabalu secara automatik turut memegang jawatan Pengerusi Borneo Samudera kerana syarikat itu adalah anak syarikat di bawah struktur yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dari sudut kelayakan, Hazem memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk latar belakang pendidikan serta pengalaman yang relevan. Malah, Hazem juga telah memperoleh mandat rakyat menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, satu fakta penting yang tidak boleh dipertikaikan.

“Setakat ini, tidak wujud sebarang bukti atau isu konkrit yang boleh menyokong dakwaan bahawa beliau akan menyalahgunakan kedudukan. Tuduhan awal tanpa asas hanya bersifat sangkaan buruk dan andaian yang menjurus kepada fitnah serta usaha menjatuhkan reputasi individu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar penilaian terhadap Hazem tidak dibuat semata-mata berdasarkan latar belakang keluarganya, sebaliknya berasaskan kemampuan, integriti dan potensi kepimpinan.

“Hakikatnya, Hazem adalah anak muda yang memiliki jiwa besar, bakat serta potensi kepimpinan yang jelas. Jika diberikan ruang dan kepercayaan, beliau berupaya memperkukuh peranan serta melonjakkan prestasi kedua-dua entiti berkaitan kerajaan ini ke tahap yang lebih berdaya saing,” katanya.

Sehubungan itu, Hj. M. Ridzal menegaskan sudah tiba masanya semua pihak menilai sesuatu pelantikan berdasarkan fakta, kelayakan dan prestasi sebenar, bukannya sentimen, kebencian politik atau agenda tersembunyi.

TAMAT

Share This Article