Seorang Maut, Lima Cedera Dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Beluran

sabahheadlines
2 Min Read

BELURAN: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Telisai Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.57 tengah hari itu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser yang bertembung di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan tujuh anggota ke lokasi sejauh 45 kilometer dari balai.

“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.38 petang dan mendapati terdapat enam mangsa terlibat dalam kemalangan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Manakala dua mangsa yang berada di dalam Toyota Unser, seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa perempuan dewasa yang menaiki Toyota Unser mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi diketuai oleh Isfloronny Lim dengan bantuan enam anggota BBP Beluran selain sokongan enam anggota PDRM dan tiga petugas KKM.

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.56 petang,” katanya.

Share This Article