BEAUFORT, 3 Januari 2026 – Seramai 190 penduduk daripada 75 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) PPK Slagon susulan kejadian banjir yang melanda daerah Beaufort sejak Jumaat.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC), PPS berkenaan dibuka pada 2 Januari lalu jam 5 petang bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat kenaikan paras air di beberapa kampung di daerah itu.
Data terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menunjukkan empat kampung terjejas dengan jumlah penduduk yang dipindahkan terus mencatatkan peningkatan setakat jam 4 pagi, 3 Januari 2026.
Daripada jumlah tersebut, mangsa terdiri daripada dewasa, warga emas serta kanak-kanak dan bayi melibatkan lelaki dan perempuan namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
JPBN Sabah memaklumkan pihaknya terus memantau keadaan banjir dari semasa ke semasa melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Beaufort selain memastikan kebajikan mangsa di PPS terjamin.
Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan supaya berwaspada mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.
TAMAT
