LAHAD DATU, 24 Disember – Kegiatan lumba haram yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya di daerah ini terbongkar selepas satu rakaman tular memaparkan seorang penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi pada 21 Disember lalu, sekumpulan penunggang motosikal disyaki melakukan aktiviti lumba haram di kawasan lampu isyarat Lapangan Terbang Lahad Datu sekali gus membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin bin Haji Ismail berkata, hasil maklumat awam dan tindakan pantas sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu seorang suspek lelaki berusia 21 tahun berjaya dikesan dan ditahan.
“Suspek ditahan di kediamannya di Felda Sahabat pada 23 Disember kira-kira jam 4.15 petang sebelum dibawa ke IPD Lahad Datu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek telah direman selama empat hari bagi siasatan lanjut.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000. Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara boleh mencecah 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.
Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi bin Harun di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu.
Dalam pada itu ACP Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan dan tingkah laku anak-anak supaya tidak terpengaruh dengan gejala tidak sihat selain mengingatkan golongan belia agar mematuhi undang-undang lalu lintas.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti lumba haram dan operasi bersepadu akan dijalankan dari semasa ke semasa khususnya di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan,” katanya.
TAMAT
