Warga Emas Hilang Ditemui Meninggal Dunia Pada Hari Keenam Operasi SAR di Kota Belud

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA BELUD, 21 Disember 2025 — Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari keenam bagi seorang warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Tambulion Laut di sini berakhir apabila mangsa ditemui meninggal dunia pagi tadi.

Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada 16 Disember lalu kira-kira jam 7.30 pagi.

Mangsa dilaporkan terakhir kali dilihat di kawasan kampung berkenaan pada 15 Disember sekitar jam 5.30 petang.

Operasi SAR hari keenam dimulakan pada jam 9.20 pagi dengan pembahagian tiga sektor pencarian melibatkan kawasan tebing Sungai Wariu, kawasan pertanian Tumpul Tambulion Luminodip serta Sungai Kuala Abai hingga ke persisiran pantai.

Sektor pertama melibatkan pencarian di tepi Sungai Wariu berhampiran kediaman mangsa bermula dari Dewan Tamu Desa hingga ke empangan dengan radius pencarian seluas 158,543.44 meter persegi.

Sektor kedua tertumpu di kawasan pertanian dengan radius 186,409.16 meter persegi manakala sektor ketiga melibatkan pencarian menggunakan bot di sepanjang 7.4 kilometer Sungai Kuala Abai dan kawasan pantai berhampiran.

Pada jam 10 pagi mangsa ditemui di Sektor Dua oleh pasukan bomba dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung.

Mangsa ditemui kira-kira 1.7 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Bagaimanapun pasukan penyelamat berdepan kesukaran mengeluarkan mangsa disebabkan paras air sungai yang dalam dan arus yang deras.

Laluan alternatif melalui kawasan kebun sawit terpaksa digunakan bagi membolehkan jentera utiliti bomba jenis Vigo sampai ke lokasi mangsa.

Selepas berjaya mengeluarkan mangsa dari kawasan paya mangsa dibawa ke jalan utama sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas pihak berkuasa memastikan tiada lagi ancaman keselamatan di lokasi kejadian.

Mangsa dikenal pasti sebagai Minun binti Kasim, berusia 83 tahun. Mangsa disahkan meninggal dunia.

Operasi SAR ini melibatkan seramai 12 anggota BBP Kota Belud dengan kerjasama Unit K9, Unit Drone, PDRM, APM, RELA serta penduduk kampung. Operasi diketuai oleh Komander Operasi PBK I Thomas Bolu dengan Komander Operasi Kanan merangkap Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk.

TAMAT

Share This Article