TAWAU, 14 Disember 2025 — Sebanyak 30 buah rumah perkampungan atas air di Kampung Sri Aman, Lorong Jade 4, Jalan Apas di sini musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran besar yang berlaku lewat malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.23 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Suheizan Sahak, berkata kebakaran melibatkan rumah jenis tidak kekal yang diperbuat daripada papan dan kayu menyebabkan api merebak dengan pantas.
“Anggaran keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar ialah 262 x 229 kaki persegi dan kesemua 30 rumah terlibat terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman dilaksanakan secara berperingkat menggunakan kaedah pemadaman pertama, kedua dan ketiga dengan bantuan pili bomba serta sumber air terbuka dari laut.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam sekali gus menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.
Operasi pemadaman melibatkan 24 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan bantuan BBP Kunak serta Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.10 pagi selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat.
TAMAT
