JKR Sabah jelaskan punca kelewatan jambatan Pan Borneo Pakej 02

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menafikan dakwaan bahawa jambatan Pan Borneo bagi Pakej Kerja 02 merupakan projek terbengkalai sebaliknya menjelaskan kelewatan berlaku akibat pertikaian kontrak yang berlarutan lebih dua tahun.

Dalam kenyataan hari ini, JKR Sabah memaklumkan kontraktor mempertikaikan kos beam launching yang didakwa tidak termasuk dalam harga kontrak dan kemudiannya enggan meneruskan kerja di tapak sementara menunggu keputusan.

Namun menurut JKR, syarat kontrak dengan jelas menetapkan bahawa projek perlu disiapkan dan sebarang tuntutan hanya boleh dibuat melalui proses arbitrasi.

“Kerajaan bersetuju membawa perkara ini ke arbitrasi selepas kontraktor enggan menyambung kerja,” katanya.

Pertikaian tersebut dirujuk ke Asian International Arbitration Centre (AIAC) dan mengambil masa 28 bulan untuk diputuskan bermula 17 Oktober 2022 hingga 14 Mac 2025. Keputusan arbitrasi akhirnya memihak kepada kerajaan yang menegaskan kos beam launching sememangnya termasuk dalam kontrak asal.

Susulan keputusan itu kontraktor bersetuju menyambung semula kerja pada Jun 2025 namun pelaksanaan kembali tertangguh selepas beberapa isu teknikal dikesan di tapak.

“Kontraktor kini sedang mencari penyelesaian teknikal dan kerja dijangka disambung pertengahan Januari 2026,” kata JKR.

JKR Sabah turut menegaskan bahawa Sektor Pan Borneo kekal komited memastikan projek berkenaan dilaksanakan mengikut spesifikasi, prosedur serta jadual yang ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Perkembangan lanjut mengenai projek itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

TAMAT

Share This Article