KOTA KINABALU, 11 Dis — Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan tuntutan Anugerah Akhir berjumlah AS$14.9 bilion oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai penuntut Sulu sebagai satu keputusan bersejarah dan kemenangan besar buat Malaysia.
Menurut beliau, keputusan itu sekali lagi mengesahkan pendirian tegas Sabah bahawa kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia tidak pernah boleh dipertikaikan.
“Sejak awal lagi kita tidak melayan tuntutan tidak berasas ini, dan keputusan mahkamah pada 9 Disember lalu membuktikan kebenaran pendirian tersebut,” katanya dalam kenyataan mengulas laporan Bilik Gerakan Sekretariat Khas Sulu yang mewakili Kerajaan Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini memutuskan bahawa Gonzalo Stampa — individu yang mengeluarkan Anugerah Akhir tersebut — tidak mempunyai sebarang bidang kuasa sah terhadap Malaysia. Mahkamah turut menegaskan bahawa tiada perjanjian timbang tara sah yang boleh mengikat atau dikuatkuasakan ke atas Malaysia, sekali gus membatalkan keseluruhan proses tuntutan itu.
Hajiji berkata, keputusan tersebut melegakan rakyat Sabah yang selama ini berpegang teguh bahawa dakwaan kumpulan terbabit tidak mempunyai asas sejarah atau perundangan moden.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangkis apa jua tuntutan serupa pada masa hadapan.
“Kami menghargai usaha berterusan Kerajaan Persekutuan yang mempertahankan kedaulatan Sabah,” katanya.
Hajiji turut menambah bahawa Sabah akan terus kekal tegas dalam mempertahan dan melindungi kedudukan negeri itu dalam Malaysia serta menjadikan keselamatan dan hak rakyat sebagai keutamaan.
TAMAT
