Fenomena Air Pasang Jejas Beberapa Perkampungan Atas Air di Sandakan

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 6 Dis — Beberapa perkampungan atas air di sekitar Sandakan berhadapan dengan fenomena air pasang tinggi sejak malam tadi menyebabkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kerosakan harta benda.

Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Tinusa 2, Batu Putih, Kampung Air, Kampung Bokara dan Kampung Sim Sim.

Menurut seorang penduduk Kampung Tinusa 2, Sarina Azman, fenomena air pasang mula dikesan sekitar 11 malam sekali gus mendorong ramai penduduk keluar dari rumah untuk memindahkan kenderaan masing-masing ke kawasan lebih tinggi.

“Penduduk bimbang air naik ke kawasan parkir jadi semua sedang alihkan kereta ke daratan. Keadaan jalan sekarang agak sesak kerana ramai berpusu-pusu keluar,“ katanya.

Tinjauan turut mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama berhampiran kawasan perkampungan atas air menjadi perlahan ekoran pertambahan kenderaan.

Setakat ini tiada laporan kecederaan atau kerosakan serius diterima, namun penduduk dinasihatkan terus berwaspada berikutan jangkaan fenomena air pasang yang mungkin berulang terutama pada waktu malam.

TAMAT

Share This Article