LAHAD DATU, 3 Disember – Sebuah blok rumah pekerja tiga pintu di Kompleks Kembara Sakti, Jalan Felda Tambisan musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran tengah hari tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa bin Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.13 pagi melalui talian NG999.
Pasukan dari PBS Anjung Teduh menjadi jentera pertama tiba di lokasi pada 12.27 tengah hari diikuti pasukan dari BBP Lahad Datu yang tiba pada 12.45 tengah hari. Lokasi kejadian terletak kira-kira 44 kilometer dari PBS Anjung Teduh dan 114 kilometer dari BBP Lahad Datu.
Setibanya di lokasi, Komander Operasi PBK I Mohammad Akbar Mohambar melaporkan bahawa keseluruhan struktur kekal berukuran anggaran 80 x 30 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.
Operasi pemadaman dijalankan oleh anggota BBP Lahad Datu bersama tiga anggota PBS Anjung Teduh menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan dengan sumber air diperoleh daripada parit berhampiran.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.49 tengah hari sebelum operasi ditamatkan pada 1.57 tengah hari.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Seramai 10 anggota terlibat dari BBP Lahad Datu menerusi jentera LFRT-1 (7 anggota) dan EMRS-1 (3 anggota) selain bantuan tiga anggota PBS Anjung Teduh.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
TAMAT
