SANDAKAN ,24 November– Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa menegaskan bahawa GRS merupakan pilihan terbaik untuk memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu serta negeri Sabah secara keseluruhan.
Hazem berkata, sokongan rakyat yang ditunjukkan sepanjang kempen memberikan keyakinan baharu kepadanya untuk berusaha memastikan kerusi Sungai Manila menjadi penyumbang kemenangan kepada GRS pada 29 November ini.
“Saya akan berusaha untuk menang dan memastikan Sungai Manila menjadi salah satu penyumbang kerusi buat GRS,” katanya.
Namun, beliau mengakui berdepan saingan sengit daripada calon lain kerana setiap calon mempunyai kekuatan dan peluang tersendiri.
“Rakyat akan memilih pada 29 November nanti, tetapi saya berharap mereka memilih GRS bagi memastikan kesinambungan pembangunan, bantuan yang telah dan akan dilaksanakan dapat diteruskan,” katanya.
Hazem turut menegaskan bahawa manifesto GRS yang dilancarkan baru-baru ini memperlihatkan komitmen jelas gabungan itu dalam membela nasib rakyat.
Beliau berkata, antara perkara terpenting dalam manifesto tersebut ialah bantuan wang pendahuluan atau deposit kepada belia untuk membeli rumah berharga sehingga RM500,000 serta bantuan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
“Kedua-duanya akan mula dilaksanakan tahun depan. Untuk memastikan rakyat menikmatinya, GRS wajar dikekalkan sebagai pemerintah. Perkara seperti ini tidak dilakukan oleh parti lain kecuali GRS,” katanya.
Hazem berkata fokus utamanya kini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat di Sungai Manila dan memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.
“Saya sentiasa ingat pesan ayahanda agar bekerja kuat dan membela nasib rakyat. Itu menjadi pegangan saya,” katanya.
TAMAT
