KOTA KINABALU (11 NOVEMBER): Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil.
Bagaimanapun Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan rayuan terhadap alasan penghakiman berkaitan dengan perkara tersebut.
Dalam satu kenyataan Jabatan Peguam Negara hari ini memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu dan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.
Jemaah menteri mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi mrmbincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Peguam Negara telah memberi nasihat dan pandangan kepada jemaah menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.
Antaranya dakwaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajiban perlembagaan.
Kenyataan itu berkata dakwaan itu bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974.
Selain itu alasan penghakiman juga menyatakan bahawa kajian semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang tidak rasional terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.
“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
TAMAT
