UPKO KELUAR DARI PAKATAN HARAPAN

sabahheadlines
4 Min Read

KOTA KINABALU (10 NOVEMBER): UPKO hari ini memutuskan untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan.

Keputusan itu diputuskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UPKO dalam satu mesyuarat khas.

Setiausaha agung parti itu, Datuk Nelson W Angang dalam kenyataanya berkata keputusan itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada pengerusi PH dan parti komponen dalam PH.

“Mesyuarat MT UPKO adalah untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan hala tuju kepimpinan UPKO,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh empat tahun berada dalam Pakatan Harapan (PH), UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihanraya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.

Bagaimanapun beliau berkata, sepanjang tempoh itu, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional.

Ia termasuk mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah, katanya.

Kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui mesyuarat ggung PH Sabah tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah, katanya dan menambah, malah UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.

Katanya, Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘coordinator’, tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah dan ianya bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.

Nelson berkata, UPKO menilai semula hala tuju perjuangan “…dan kami menyimpulkan “hanya parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan Sabah” berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya hak 40 peratus.”

Katanya, UPKO bersedia bekerjasama dengan parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Nelson juga memberitahu, mesyuarat khas itu turut menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law

UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah tersebut adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List), katanya.

UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, katanya lagi.

Nelson berkata, Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Ewon dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan sehingga penggal ini berakhir.

Tamat

Share This Article