LAHAD DATU: Lima tahun pelaksanaan Misi Segama menyaksikan pelbagai perubahan ketara di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama dengan kadar pelaksanaan manifesto pilihan raya mencapai sehingga 85 peratus.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama, Datuk Dr. Mohamaddin Ketapi berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam membangunkan kawasan Segama dan memperkukuh kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut beliau, pelaksanaan Misi Segama sepanjang tempoh perkhidmatannya menjadi bukti kesungguhan pasukannya dalam melaksanakan janji-janji yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Setiap janji yang dibuat bukan sekadar catatan manifesto tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan rakyat menerima hasil pembangunan yang dijanjikan,” katanya.
Antara manifesto yang berjaya dilaksanakan termasuk pewartaan lima buah kampung dalam tempoh dua tahun pertama melibatkan Kampung Sabah Baru Peringkat 1 hingga 4 serta Kampung Bukit Belacon Jaya yang kini diiktiraf secara rasmi di bawah Ordinan Tanah Negeri Sabah.
Mohamaddin turut menzahirkan rasa syukur atas kejayaan memperjuangkan penyelesaian masalah air dengan pembinaan loji air baharu di Bukit Belacon, yang disifatkannya sebagai projek penting dalam memastikan bekalan air bersih kepada penduduk Segama.
Beliau mengakui penggal perkhidmatan lalu penuh cabaran termasuk pandemik COVID-19, ketidakstabilan politik, kekangan sumber peruntukan serta isu penyelarasan pentadbiran.
“Namun dengan tekad dan kerjasama semua pihak, sebahagian besar janji dapat dilaksanakan.
Pencapaian ini adalah hasil daripada sokongan rakyat, peranan aktif pemimpin masyarakat serta dedikasi jentera Pejabat Khidmat Adun N.61 Segama,” jelasnya.
Dalam tempoh perkhidmatannya aspek kebajikan sosial menjadi keutamaan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Bantuan Khas Segama (BKS), Program Membantu Rakyat (MEMBARA) dan Geran Pemadanan Inisiatif Sara Hidup bagi membantu penduduk dalam aspek pendidikan, ekonomi, keusahawanan serta penjanaan pendapatan.
Selain itu aspek sosial dan kebudayaan turut diberi perhatian melalui penyediaan dana kepada pertubuhan belia dan kebudayaan di bawah Geran NGO Kebudayaan serta Program BeliaBoleh.
Setakat ini 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada 17 pertubuhan kebudayaan dan 11 pertubuhan belia telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Pendekatan turun padang kekal menjadi tunjang kita. Setiap maklum balas dan aduan masyarakat direkodkan serta dibincangkan bagi mencari penyelesaian yang cepat dan berkesan,” katanya lagi.
Mohamaddin menambah baki 15 peratus janji yang belum dilaksanakan akan menjadi fokus dalam penggal seterusnya termasuk agenda peningkatan ekonomi rakyat, peluang pendidikan anak muda dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam.
“Segama mempunyai potensi besar. Kita mahu memastikan setiap keluarga merasai manfaat pembangunan secara adil dan inklusif.
Harapan rakyat adalah amanah, dan amanah itu akan terus saya junjung dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
TAMAT
