ESSCOM, Jabatan Perikanan Rangka Strategi Tangani Kegiatan Bom Ikan di ESSZONE

LAHAD DATU, 28 Okt – Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama Jabatan Perikanan Malaysia, Sabah akan merangka strategi jangka panjang bagi menangani kegiatan pengeboman ikan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Victor Sanjos berkata, aktiviti pengeboman ikan bukan sahaja mengancam keselamatan, malah menjejaskan pemuliharaan khazanah laut khususnya batu karang yang amat penting kepada sektor pelancongan negara.

Sehubungan itu, katanya, ESSCOM dengan kerjasama Jabatan Perikanan akan mengadakan beberapa sesi perbincangan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah tersebut.

“Langkah ini termasuk melancarkan operasi bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan di kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti sebagai lokasi kegiatan berkenaan.

“Tanggungjawab membasmi kegiatan bom ikan tidak hanya terletak di bahu pasukan keselamatan dan agensi penguat kuasa semata-mata, termasuk Jabatan Perikanan. Komuniti maritim di kawasan ESSZONE perlu memainkan peranan membantu dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa serta melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, YBhg. Datin Dr. Shuhadah Mustapha bersama rombongan di Ibu Pejabat ESSCOM, di sini, pada Isnin.

Victor berkata, selain aspek penguatkuasaan, ESSCOM dengan kerjasama Jabatan Perikanan juga akan melaksanakan sesi libat urus di lokasi tumpuan menerusi kempen kesedaran bertemakan “Katakan Tidak kepada Bom Ikan” dalam masa terdekat.

Menurutnya, program itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak berurusan atau membeli hasil tangkapan yang diperoleh melalui aktiviti pengeboman ikan.

“Kita juga bercadang memperluaskan kempen kesedaran melalui saluran radio tempatan agar seluruh komuniti maritim memahami kesan negatif sekiranya kegiatan ini tidak dibanteras dengan berkesan.

“Penduduk di kawasan ESSZONE perlu sedar bahawa khazanah alam dan ekosistem laut perlu dijaga dengan baik bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat yang bergantung kepada hasil laut, selain menyokong sektor pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha merakamkan penghargaan kepada ESSCOM atas kerjasama erat dalam usaha membanteras aktiviti pengeboman ikan di kawasan ESSZONE.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan perlu dihentikan segera demi memelihara ekosistem dan khazanah laut yang amat penting kepada kerajaan negeri kerana ia berkait rapat dengan sektor pelancongan.

“Banyak kesan negatif sekiranya kegiatan ini tidak dibendung, termasuk kemusnahan ekosistem laut yang akan menjejaskan pembiakan ikan — habitat penting kepada sektor perikanan dan pelancongan,” katanya.

TAMAT