Gunung Kinabalu Catat Rekod Penanda Arah Kiblat Tertinggi Negara

KOTA KINABALU, 28 Okt – Gunung Kinabalu terus mengukuhkan statusnya sebagai mercu tanda kebanggaan rakyat Sabah apabila kini diiktiraf memiliki Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu diberikan kepada monumen penanda arah kiblat yang dipasang di KM8 Gunung Kinabalu pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut, menjadikannya satu-satunya struktur seumpamanya di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengumumkan pengiktirafan itu pada Majlis MBOR bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia di The Pacific Sutera semalam.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian fizikal tetapi lambang keutuhan akidah, keilmuan dan semangat umat Islam Sabah yang berjaya menggabungkan elemen falak, teknologi dan daya tahan fizikal.

“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi negara menjadi simbol syiar Islam dan inovasi yang berpaksikan keimanan,” katanya.

Hajiji menjelaskan projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah bermula dengan tinjauan dan penentuan arah kiblat menggunakan kaedah falak disusuli kerja pengukuran oleh JUPEM dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Pelbagai agensi turut menjayakan inisiatif itu termasuk Taman-Taman Sabah, JAKIM, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri.

“Kerjasama erat semua pihak membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman digabungkan ia mampu mencipta kejayaan besar yang mengharumkan nama Sabah,” katanya.

TAMAT