Oleh Jalie Mohamad
SANDAKAN, 24 Oktober – Sandakan hari ini mencatat satu lagi sejarah penting apabila laluan kargo udara terus pertama ke Hong Kong dilancarkan secara rasmi, menandakan era baharu bagi pembangunan ekonomi dan logistik di pantai timur Sabah.
Majlis pelancaran bersejarah ini disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee, dengan penerbangan sulung MJets berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan (SDK) menuju ke Hong Kong.
Menurut YB Vivian Wong, pelancaran laluan kargo udara terus ini merupakan satu pencapaian besar dalam usaha kerajaan memperkukuh kedudukan Sandakan sebagai hab logistik utama di rantau BIMP-EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area).
“Ini bukan sekadar penerbangan, tetapi permulaan masa depan baharu untuk Sandakan. Laluan ini membuka ruang lebih luas kepada para pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di Hong Kong dan wilayah China Selatan,” katanya.
Beliau menambah, perkhidmatan kargo udara tersebut dijangka merancakkan aktiviti eksport hasil laut segar, produk pertanian serta barangan perusahaan kecil dan sederhana (IKS), selain berpotensi menarik pelaburan baharu ke daerah ini.
Langkah ini turut dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, di samping meningkatkan nilai perdagangan Sandakan dengan pasaran luar negara.
“Kita mahu melihat Sandakan bukan sahaja sebagai pintu masuk pelancong, tetapi juga sebagai pintu keluar utama produk Sabah ke pasaran antarabangsa,” jelasnya lagi.
Pelancaran laluan ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dan pihak industri bagi memperkukuh infrastruktur penerbangan serta memperluas hubungan ekonomi antara Sabah dan rakan dagang luar negara.
Tamat

