25 tahun tinggal di rumah usang, akhirnya nikmati rumah baharu yang selesa

sabahheadlines
2 Min Read

LAHAD DATU: Rumah lama yang hampir roboh itu menjadi saksi kehidupan susah Mohd Idris Lepas bersama keluarganya selama lebih 25 tahun, namun segalanya berubah apabila mereka kini menikmati rumah baharu yang lebih selesa di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun ini.

Bapa kepada enam anak itu berkata, kehidupannya dahulu penuh kesukaran kerana keadaan rumah yang didiami terlalu daif dan tidak lagi selamat untuk dihuni.

“Di rumah ada enam orang lah, sama anak. Yang lain semua kerja, ada tiga orang lah,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pendapatan tidak menentu hasil kerja sendiri menyebabkan dia hanya mampu membaiki rumah sedikit demi sedikit.

“Kerja sendiri lah. Orang panggil macam baik kereta kah,Kadang-kadang kalau ada, ada lah, tak ada, gitu lah,” ujarnya.

Selepas menerima rumah baharu hasil inisiatif kerajaan, keluarganya kini dapat hidup dengan lebih selesa dan tenang.

“Memang susah saya mahu katakan keadaan rumah dulu. Memang terlalu usang betul lah. Ini pun berapa tahun, nah ini tahun baru saya rasa selesa,” katanya dengan rasa syukur.

Sementara itu Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Maizatul Akmam Alawi berkata sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 851 rumah baharu PPRS telah diluluskan dan dibina di Sabah manakala 2,725 rumah lagi telah dibaik pulih.

“Proses pemilihan penerima PPRS ini memang ketat. Mereka yang dipilih terdiri daripada golongan yang benar-benar layak seperti miskin tega serta mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir,” jelasnya.

Beliau menambah, permohonan bagi program ini kini boleh dibuat secara dalam talian oleh mereka yang benar-benar memerlukan.

Program PPRS yang dilaksanakan KKDW terus menjadi antara usaha penting kerajaan dalam membantu rakyat luar bandar memiliki kediaman yang selesa dan selamat.

TAMAT

Share This Article