TAWAU, 22 Okt — Sebanyak 13 kes pelanggaran serius di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Sabah telah dibawa ke mahkamah membuktikan ketegasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan penguatkuasaan akta berkenaan sejak dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada 966 kesalahan tidak boleh dikompaun di seluruh negara.
Di Sabah katanya merekodkan 13 kes diikuti Sarawak (16 kes) dan Labuan (17 kes).
“Kes yang dibawa ke mahkamah ini melibatkan pelbagai pelanggaran termasuk aktiviti pengiklanan, pempameran dan penjualan produk merokok kepada individu bawah umur 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan penyeliaan penguatkuasaan Akta 852 di sekitar bandar Tawau, hari ini.
Menurut beliau, bagi kesalahan tidak boleh dikompaun notis akan dikeluarkan kepada individu atau syarikat terlibat untuk hadir ke mahkamah bagi menentukan hukuman berdasarkan keputusan hakim.
“Kita kini dalam fasa pelaksanaan menyeluruh yang bukan sekadar larangan merokok tetapi turut meliputi aspek pendaftaran, penjualan, pengiklanan serta pengawalan produk.
“KKM akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” tegasnya.
Dr Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai kesihatan persekitaran dan pasukan penguat kuasa KKM yang gigih melaksanakan tugas di lapangan.
“Saya sedar tugas penguatkuasaan ini bukan mudah namun saya amat menghargai komitmen mereka yang turun padang hampir setiap hari.
“KKM akan terus memperkukuh pelaksanaan dan menambah baik aspek penguatkuasaan bagi memastikan matlamat Akta 852 dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.
TAMAT
