TIGA BANGUNAN SEKOLAH AGAMA MUSNAH TERBAKAR DI TAMBUNAN

sabahheadlines
2 Min Read

TAMBUNAN, 12 Okt: Tiga bangunan di sebuah sekolah agama di daerah ini musnah dalam kebakaran petang Ahad.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa di laporan dalam kejadian itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.23 petang sebelum menghantar jentera ke lokasi kejadian di Sekolah Agama Tambunan kira-kira satu kilometer dari balai.

“Sebaik tiba dua minit kemudian pasukan mendapati kebakaran melibatkan tiga struktur bangunan sekolah iaitu bangunan kelas dan bilik guru jenis tidak kekal berkeluasan 25×50 kaki yang terbakar 100 peratus.

“Sebuah lagi bangunan kelas tidak kekal berkeluasan 25×30 kaki turut musnah sepenuhnya manakala bangunan kuarters guru jenis kekal berkeluasan 25×25 kaki juga terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran 400 kaki, empat pancutan secara ofensif serta dua aliran salur bantu mula dengan teknik pemadaman secara defensif.

Sumber air diambil daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6.15 petang manakala siasatan punca dan anggaran kerugian masih dijalankan.

Seramai 23 anggota terlibat dalam operasi itu melibatkan BBP Tambunan (18 anggota), bantuan dari BBP Keningau (4 anggota) serta seorang anggota bomba sukarela Kampung Tangaban.

Operasi turut diketuai Komander Operasi Selverinus Sixtus Geoffreydengan pemantauan oleh Ketua Zon, Norfarizah Jembri.

TAMAT

Share This Article