PITAS, 10 Okt – Mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas menyelan akhirnya ditemui pagi ini.
Mangsa seorang lelaki dilaporkan hilang sewaktu menyelam untuk mengikat tali botnya di bagang kira-kira 4.4 batu nautika barat daya Pantai Torunggu di sini.
Mayat mangsa yang dipercayai lemas itu dilaporkan hilang pagi kelmarin.
Menurut kenyataan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, mangsa dikenali sebagai Rozaimi Masiun, 42, dilaporkan hilang pada 9.45 pagi kelmarin oleh iparnya selepas tidak timbul semula ketika menyelam bagi mengikat semula tali bot yang terputus di bagang.
Usaha awa pencarian dilskukanl oleh penduduk kampung gagal menemui mangsa sebelum operasi SAR diaktifkan pada 10.30 pagi, 9 Oktober 2025.
Pada 7.34 pagi ini, nelayan melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan berhampiran lokasi kejadian.
Bot KILAT 1 milik Zon Maritim Kudat kemudian digerakkan ke lokasi dan Pos Hadapan Carilamat (PHC) mengesahkan penemuan mangsa pada 8.00 pagi.
Mayat mangsa dibawa ke Kampung Pinggang-Pinggang sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan selanjutnya.
Dengan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 8.12 pagi.
Operasi tersebut melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Maritim Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut termasuk memakai jaket keselamatan dan memastikan bot dalam keadaan baik sebelum berlayar.
Sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan ke Pusat Operasi MRSC Kota Kinabalu di talian 088-219079 atau melalui MERS 999.
TAMAT
