LAHAD DATU, 1 Okt – Teknik peperangan amfibia sea combat kini menjadi teras latihan penting Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman keselamatan negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Kepolisian Am/Krisis Bencana), DCP Datuk M.V. Srikumar S/O Madhavan Nair, berkata, seramai 41 peserta terdiri daripada lapan pegawai kanan dan 33 pegawai rendah PDRM termasuk anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Pusat Latihan Am Sabah berjaya menamatkan latihan intensif berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Asas Sea Combat Siri 1/2025 Briged Sabah di Payang Beach Resort, di sini hari ini.
“Program ini mula diperkenalkan sejak 2023 atas inisiatif Pengarah KDNKA yang menekankan betapa pentingnya latihan sea combat kerana ia sangat relevan dan tepat pada masanya dalam menghadapi cabaran semasa.
“Kejayaan semua peserta hari ini membuktikan kursus ini berjaya mencapai objektif meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan pasukan di perairan negara,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan penutupan beliau turut menzahirkan penghargaan kepada 13 jurulatih Briged Sabah yang memastikan kelancaran kursus sepanjang sebulan itu.
Sejak diperkenalkan dua tahun lalu, katanya, seramai 220 peserta telah mengikuti latihan sea combat ini.
“Latihan ini bukan sahaja memantapkan teknik pertempuran laut malah meningkatkan disiplin, daya tahan fizikal serta mental anggota.
Sijil yang diterima peserta bukan sekadar simbol kehadiran tetapi tanda pencapaian hasil daripada latihan intensif yang dilalui,” jelasnya.
Sementara itu Pemangku Komander Briged Sabah PGA, ACP Radzi Husain, menegaskan kursus ini memperlihatkan semangat juang tinggi para peserta dan menjadi wadah pengukuhan ketahanan fizikal serta mental secara berpasukan.
Namun katanya, isu kekangan logistik perlu diberi perhatian pihak atasan bagi memastikan kursus seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
Kursus yang berlangsung dari 2 September hingga 1 Oktober 2025 itu memberi tumpuan kepada latihan fizikal, mental, strategi pertempuran laut, disiplin serta persediaan menghadapi ancaman keselamatan negara.
Majlis penutupan turut diserikan dengan demonstrasi aksi sea combat oleh para peserta yang mempamerkan keberanian dan kemahiran hasil latihan intensif selama 30 hari.
Turut hadir menyaksikan majlis, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias; Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir; Komander Pasukan Gerakan Udara Pangkalan Sabah, ACP Ras Nazrin Shah Abdullah; Timbalan Komander (Zon Timur) Briged Sabah PGA, ACP Andrew Gani Jimmy; serta Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Ismail.
TAMAT
