LAHAD DATU, 30 Sept – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperhebatkan usaha memerangi kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi apabila berjaya menumpaskan beberapa cubaan penyeludupan di daerah Sandakan dan Semporna pada Isnin malam.
Dalam operasi serentak kira-kira jam 8 malam itu, pasukan PPM Sandakan berjaya menahan dua lelaki warga tempatan bersama sebuah lori tangki, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dan dua skid tangki di Jalan Cecily Sibuga, Sandakan. Mereka dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di kawasan laut Pulau Omadal dan Tanjung Pantau-Pantau, Semporna, PPM menahan seorang lelaki warga asing yang cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, rampasan keseluruhan membabitkan 5,400 liter minyak diesel serta 51 jerekin berisi minyak petrol dengan nilai anggaran RM482,672.25.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan atau pelanggaran undang-undang.
“PPM Wilayah 4 komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” tegasnya.
TAMAT
