Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 29 Sept – Desas-desus kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Warisan bukanlah perkara baharu sebaliknya pernah wujud melalui gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Kinabalu’, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, sejarah itu jelas menunjukkan kedua-dua parti bersekongkol dengan tujuan sama iaitu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat.
“BN pada asalnya bersama kita tetapi akhirnya mereka mengkhianati rakan sendiri dengan berpakat bersama Warisan.
Mereka cuba merampas kuasa melalui pintu belakang namun ramai wakil rakyat yang masih waras dan menolak politik tanpa penghujung ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Kebudayaan Etnik & Food Culture 2025 di perkarangan pawagam lama, di sini, malam tadi.
Menurut Nizam, rakyat sudah muak dengan permainan politik sedemikian kerana ia hanya menjejaskan kestabilan negeri.
Sebaliknya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah membuktikan pencapaian nyata menerusi pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya.
“Di bawah GRS, pelaburan terus meningkat, ekonomi berkembang dan hasil negeri dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan tanpa mengira agama, kaum mahupun latar belakang.
Inilah bukti sebuah kerajaan yang ikhlas bekerja, bukan sekadar pandai berjanji,” tegasnya.
Beliau turut mengkritik pentadbiran 26 bulan yang lalu yang disifatkannya sebagai kerajaan paling lemah dan gagal kerana menghentikan banyak projek bermanfaat termasuk projek Pan Borneo serta bekalan air.
“Kerajaan sekarang perlu dipertahankan kerana ia lebih banyak memberi hasil nyata berbanding kerajaan lalu yang hanya pandai bercakap, tetapi gagal menunaikan janji,” katanya.
Nizam turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan etnik Sabah wajar dipertahankan kerana ia bukan sahaja memupuk perpaduan malah mampu menjadi tarikan pelancongan yang menguntungkan negeri dan masyarakat tempatan.
Beliau mencadangkan agar Program Etnik & Food Culture dijadikan acara tahunan seperti Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau yang berjaya menarik penyertaan hingga ke luar negara.
TAMAT
