BEAUFORT (27 SEPTEMBER): Sukan tradisi perlu dihidupkan dan diperkembangkan bagi memastikan generasi muda tahu dan memahami sukan tersebut.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Haji Aliasnih berkata masih ramai generasi muda tidak mengenal sukan tradisi.
Malah, katanya, ada yang tahu tetapi tidak tahu cara untuk bermain.
“Sukan tradisi ada sukan yang sepatutnya terus kita perkembangkan dan penganjuran seumpama ini wajar kita banggakan dan disokong,” katanya kepada media di sini hari ini.
Isnin sebelum itu merasmikan Sukan Tradisi Antara Jabatan dan Agensi Kerajaan Daerah Beaufort.
Beliau berkata sukan tradisi tidak jauh berbeza dengan sukan yang ada ketika ini.
Menurutnya sukan tradisi memerlukan strategi dan perancangan terbaik bagi mencapai kemenangan selain kekuatan fizikal.
Bagaimanapun beliau berkata fokus utama dalam penyertaan itu ialah menjalinkan dan memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada antara jabatan dan agensi kerajaan.
Tamat
