SABAH CADANG BERI PENDIDIKAN PERCUMA

PENAMPANG (21 SEPTEMBER): Kerajaan Negeri bercadang memberi pendidikan percuma buat pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian.

Ia termasuklah sama ada di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri iaitu University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan khususnya pinjaman PTPTN dan Yayasan Sabah, agar beban hutang pelajar dapat diringankan.

“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 orang peminjam.

“Saya optimis, dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya ia bukti kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu disamping memastikan akses pendidikan sampai kepada para pelajar.

“Sebab itu kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda merupakan cerminan kepada masa hadapan negeri Sabah yang tercinta,” katanya dimajlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA di sini hari ini.

Ketua Menteri berkata kerajaan pimpinan beliau telah memberi penumpuan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Sejak tahun 2021, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan. Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak mud

“Lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya Bantuan one-off sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif SENTOSA untuk pelajar yang belajar dalam negeri,” katanya.

Menurutnya Kerajaan Negeri juga menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka iaitu RM136 juta pada tahun ini dan ia telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian.

Beliau menambah Kerajaan Negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.

“Semua ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri telah berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah. Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion,” katanya.

Ketua Menteri yakin rakyat Sabah terutamanya 970,000 pengundi muda akan membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Hajiji berkata PRN17 amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan, dan juga pengurusan hasil negeri.

“Buatlah pilihan terbaik, yang menjamin kesinambungan pembangunan, kestabilan politik, dan kesejahteraan rakyat. PRN kali ini merupakan peluang keemasan kita untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan yang paling penting kerajaan yang didominasi oleh parti lokal.

“Jangan lagi kita mengulangi kesilapan sebelum ini. Kononnya mahukan perubahan, namun lain pula jadinya. Pembangunan dan kemajuan negeri terencat,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berjaya meletakkan Sabah pada landasan ekonomi yang kukuh dan pada suku pertama 2025, Sabah berjaya mencatatkan kemasukan pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya untuk anak muda Sabah.

Tamat