RM10 juta diperuntukkan untuk program pemerkasaan wanita

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk membangunkan, dan memperkasa pemimpin wanita berwibawa di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor
berkata, Kerajaan Negeri prihatin terhadap pembangunan wanita dan akan terus memastikan golongan wanita diberikan peluang serta faedah yang sama rata.

“Lebih ramai wanita telah dilantik untuk terlibat dalam pembentukan dasar dan pembuatan keputusan dalam pelbagai sektor, termasuk sektor perkhidmatan awam dan agensi kerajaan.

“Kita berharap dapat melahirkan generasi wanita yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi serta mampu memimpin bukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemimpin Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Ucapan beliau telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Ketua Menteri berkata, masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, antaranya jurang peluang pekerjaan antara lelaki dan wanita, isu diskriminasi gender serta halangan budaya dan persepsi masyarakat yang kadangkala membataskan potensi sebenar wanita.

Selain itu, cabaran untuk memastikan akses yang adil kepada pendidikan, latihan kemahiran dan peluang ekonomi juga menjadi keutamaan yang memerlukan perhatian berterusan daripada semua pihak, katanya.

“Saya yakin Simposium Pemimpin Wanita Sabah yang diadakan selama sehari ini akan memberikan impak positif kepada semua wanita hebat yang hadir dan menyertai program ini,” katanya.

Tamat