SANDAKAN, 17 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Kapal Maritim (KM) Banggi berjaya menyelamatkan tiga nelayan warga Filipina selepas bot yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Taganak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 2.05 petang apabila KM Banggi yang dalam pelayaran ke Sandakan ternampak kepulan asap hitam kira-kira lima batu nautika Timur Laut perairan Filipina.
Pasukan penyelamat segera digerakkan dan pada jam 2.52 petang, bot penyelamat sepanjang lima meter diturunkan sebelum menemui tiga mangsa terapung berpaut pada serpihan kayu.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan, namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi. Mereka dikenal pasti sebagai Hajar Ganih yang cedera di kedua-dua kaki, Adamin (selamat) dan Fattah Asa (meninggal dunia),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seorang mangsa memaklumkan lapan lagi kru bot terbabit telah diselamatkan oleh bot tempatan dan dibawa ke Pulau Bakungan Besar.
Selepas itu, KM Banggi menuju ke Pulau Taganak untuk menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa Filipina dengan kerjasama Municipal Disaster Risk Reduction and Management Office (MDRRMO) dan Tentera Laut Filipina.
Penyerahan tiga mangsa itu kepada Philippine Coast Guard Sub Division Operation Taganak selesai sepenuhnya pada jam 6.34 petang dengan lancar.
Menurut Khairulanuar, kejadian tersebut membuktikan kecekapan aset Maritim Malaysia dalam memberi respon pantas terhadap kecemasan maritim, selain memperkukuh kerjasama dengan negara jiran dalam aspek keselamatan dan kemanusiaan.
TAMAT
