BOT KARGO DITAHAN DI KUDAT, DOKUMEN MERAGUKAN

Oleh: Syarmillah Salleh

KUDAT, 11 Sept – Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas didapati memiliki dokumen kargo dan pengenalan kru yang meragukan.

Kargo itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan daerah ini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru bersama bot telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah akta yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan serta melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara, khususnya di Kudat.

Beliau turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999.

TAMAT