sh@ editor
KUALA PENYU, 7 Sept – Dua mangsa terselamat selepas sebuah kereta terbabas dan masuk ke dalam longkang di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, lewat malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 11.56 malam (6 Sept) sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 12.09 tengah malam dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam longkang.
“Dua mangsa, seorang lelaki berusia 60 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki, berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba,” kata Komander Operasi, PBK I Ak. Mohd Rafie bin Pg. Baha.
Beliau berkata, pasukan bomba melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.19 tengah malam.
Seramai 11 anggota terlibat dalam operasi berkenaan bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan utiliti VIGO.
Kedua-dua mangsa dilaporkan selamat.
TAMAT

