UMNO Perkukuh Gerak Kerja Penerangan: Datuk Seri Azalina Lancar Manual di Sabah

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ editor

KOTA KINABALU, 1 Sept – UMNO memperkukuh jentera penerangannya bagi menghadapi cabaran politik semasa menerusi pelancaran Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO/Barisan Nasional.

Pelancaran itu berlangsung di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Sabah, baru-baru ini dan dilancarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam ucapannya, Azalina menegaskan kepentingan penyelarasan strategi komunikasi serta pengukuhan penyampaian maklumat parti kepada rakyat.

“Manual ini adalah alat strategik kita. Ia membantu menyampaikan maklumat yang betul, menangani fitnah dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional. Setiap lapisan jentera perlu faham dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan penuh adalah Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir selain pimpinan negeri serta wakil-wakil bahagian dari seluruh Sabah.

UMNO Bahagian Kota Marudu turut diwakili oleh Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ismarah Madcasar Ketua Penerangan Bahagian, Musli Bin Oteng,Ketua Penerangan Pemuda Bahagian, Ramdan Haji Bidin serta Setiausaha Penerangan Bahagian, Rosli Bin Matdani. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan UMNO Kota Marudu dalam memastikan penyampaian maklumat parti dilaksanakan secara tersusun hingga ke peringkat akar umbi.

Majlis turut menyaksikan sesi taklimat tertutup mengenai pelaksanaan manual tersebut serta pelantikan penyelaras penerangan zon Sabah.

Manual berkenaan dijangka menjadi rujukan utama dalam memperkukuh strategi komunikasi dan kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya akan datang.

TAMAT

Share This Article