sh@ editor
TAMPARULI, 23 Ogos – Seorang cedera parah manakala 10 yang lain mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Tamparuli–Ranau berhampiran Kampung Minangkop, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor bin Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 1.33 tengah hari.
Sepasukan 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan dua buah pacuan empat roda dan sebuah kereta.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, seorang lelaki berusia 35 tahun yang kereta didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat.
“Mangsa mengalami kecederaan parah, manakala mangsa lain hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara enam hingga 65 tahun.
Mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital menggunakan EMRS, ambulans KKM dan APM.
Operasi diketuai oleh PBK I Mahmud Jumah dan tamat sepenuhnya pada jam 3.42 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Turut berada di lokasi bagi membantu operasi ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan APM.
TAMAT
