sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 19 Ogos 2025 – Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia (MyGEMS) menjadi platform digital moden bagi menyimpan dan mengurus data geospatial negara secara sistematik.
Sistem itu dilancarkan pada 14 Mac 2024 dan berfungsi sebagai bank data nasional berbentuk spatial yang dinamik dengan sembilan kluster utama meliputi geologi asas, bencana geologi, sumber mineral, air bawah tanah, warisan geologi, lombong dan kuari, geofizik serta geologi marin. Ia dihoskan melalui MyGovCloud bagi menjamin kebolehcapaian serta keselamatan data, selaras aspirasi kerajaan dalam agenda transformasi digital sektor awam.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Sabah, Dr. Frederick Francis Tating berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jerayawara MyGEMS 2025 dan Aduan Bencana Geologi bersama agensi berkepentingan negeri Sabah, di sini hari ini.
Menurutnya, sejak dilancarkan, sistem itu telah memuatkan lebih 15,000 rekod data dan menerima lebih 46,000 pengunjung, sekali gus membuktikan tahap penerimaan serta keberkesanannya.
“MyGEMS meningkatkan kecekapan JMG dalam pengurusan data geosains negara secara moden dan bersepadu, selain memperkukuh peranan jabatan sebagai data custodian dalam bidang geologi, mineral dan geosains,” katanya.
Beliau berkata, sistem itu turut menyokong keterbukaan data, pendigitalan serta kolaborasi rentas agensi, selain memudahkan orang awam mendapatkan maklumat yang tepat, pantas dan boleh dipercayai.
Dengan pelaksanaan MyGEMS, JMG melangkah setapak ke hadapan dalam era digital dengan memanfaatkan teknologi geospatial terkini bagi menyokong perancangan pembangunan negara, mitigasi risiko bencana, pengurusan sumber mineral dan air bawah tanah serta pemeliharaan warisan geologi.
Inisiatif berkenaan menandakan komitmen berterusan JMG dalam menyediakan perkhidmatan berasaskan data yang komprehensif, boleh diakses, selamat dan memberi impak positif kepada rakyat serta negara.
TAMAT
