PDRM, KPM LAHAD DATU PERKUKUH KERJASAMA TANGANI DISIPLIN PELAJAR

sabahheadlines
1 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

LAHAD DATU, 13 Ogos 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepakat memperkukuh kerjasama menangani isu disiplin pelajar di daerah ini.

Kerjasama itu dicapai menerusi Mesyuarat Pemuafakatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau bersama Pegawai Pendidikan Daerah, Haji Abdul Aziz Haji Abdul Rashid, turut disertai pegawai kanan PDRM, pengurusan tertinggi PPD, pengetua dan guru besar sekolah.

Antara isu utama dibincangkan termasuk penyalahgunaan dadah, vape dan ketum, kes buli, jenayah seksual, lumba haram, pemanduan tanpa lesen, gejala sosial, dan ponteng sekolah.

Langkah pencegahan yang dipersetujui meliputi pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), penganjuran program sukan bersama PDRM-PPD, penempatan Peti Lawatan Polis di sekolah berasrama dan kolej vokasional, serta program pembentukan sahsiah melalui kaunseling, motivasi, dan pemulihan tingkah laku.

IPD Lahad Datu dan PPD Lahad Datu menyeru ibu bapa, warga sekolah, dan komuniti setempat untuk bersama-sama membanteras gejala tidak sihat demi masa depan generasi muda yang cemerlang.

TAMAT

Share This Article