sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 28 Julai 2025 (Isnin) – Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 191.5 liter air ketum di rumah sewanya, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Nasir Sulaiman, 43, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Selag.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki cecair disyaki air ketum seberat 191.5 liter di sebuah rumah di Taman CL, Jalan Asam, Lahad Datu, kira-kira jam 8 malam pada 22 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 25 Ogos depan bagi proses perbicaraan.
TAMAT