sh@ Syarmillah Salleh
SEMPORNA (19 JULAI): Seramai sembilan orang berjaya diselamatkan apabila bot yang dinaiki alami kebocoran.
Kesemua mangsa adalah lelaki dan kejadian berlaku di perairan Pulau Sebangkat dekat sini tengah hari ini.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.37 pagi apabila Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Semporna menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian bot bocor di lokasi berkenaan.
Skuad BRAVO APM yang diketuai oleh PBT (PA) Asmam bin Turu bersama tiga anggota lain segera digerakkan ke lokasi menggunakan bot aluminium A008 dan tiba di lokasi pada jam 12.38 tengah hari.
“Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati tiga mangsa masih berada dalam bot manakala enam lagi mangsa berpaut pada bahagian bot yang hampir tenggelam. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan dan dipindahkan ke bot polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap APM.
Operasi turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kekuatan keseluruhan 21 anggota serta empat bot penyelamat.
Kesemua mangsa telah disahkan selamat dan tiba di PKOD Semporna pada jam 2.15 petang.
Insiden diklasifikasikan sebagai Kejadian LLK (Lemas, Lemah dan Karam) melibatkan bot bocor, dan berjaya ditangani dengan baik hasil gerak pantas pasukan penyelamat.
TAMAT
