@sh Syarmilah Salleh
LAHAD DATU (18 JULAI): Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah daripada 165 bot nelayan yang diperiksa.
Pemeriksaan itu dilakukan bersama dengan Jabatan Perikanan Lahad Datu menerusi Operasi Bersepadu ARDOK-SABA Siri 04/2025.
Operasi selama lima hari bermula 14 hingga 18 Julai itu memberi tumpuan terhadap pematuhan syarat lesen vesel, pengesahan identiti tekong dan kru, serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang sah di sekitar perairan Lahad Datu.
Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Zulfiqar bin Ali berkata, pemeriksaan melibatkan 165 bot dengan seramai 264 individu diperiksa — terdiri daripada 253 warga tempatan dan 11 warga asing.
“Hasil pemeriksaan, sebuah bot nelayan telah ditahan di perairan Madai Kunak atas dua kesalahan melanggar syarat lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal membuat pertukaran tekong seperti yang ditetapkan di bawah Enakmen Jabatan Perikanan Sabah (JPDS) serta membawa hasil tangkapan di luar kawasan zon lesen.
Bot tersebut ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
Operasi ini dijalankan secara berfasa merangkumi peringkat pengenalan, operasi laut dan operasi darat, melibatkan lebih 30 pegawai serta anggota Maritim dan Jabatan Perikanan yang bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan.
TAMAT
