sh@ Syamila Salleh
KUNAK, 29 Jun 2025 – Hasrat sembilan individu untuk ke destinasi mereka tidak kesampaian apabila van dinaiki mereka terbabas sendiri di Jalan Bukit Ular, Kunak-Lahad Datu, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala lapan lagi penumpang mengalami kecederaan.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, PBK I Mohd Ridzuan Shahidun, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 dan segera menggerakkan satu jentera FRT serta unit EMRS bersama enam anggota ke lokasi sejauh 40 kilometer.
“Sebaik tiba, kami mendapati van jenis pacuan empat roda dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan. Seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Lapan lagi mangsa yang berusia antara 46 hingga 75 tahun, terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita, mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital berdekatan.
Antara agensi lain yang turut membantu dalam operasi menyelamat ialah polis dan pasukan ambulans KKM. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.09 pagi setelah kawasan disahkan selamat.
Senarai Ringkas Mangsa:
1 lelaki (74 tahun) – Meninggal dunia
5 lelaki (berusia antara 46 – 73 tahun) – Cedera
3 wanita (berusia antara 51 – 75 tahun) – Cedera
Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.
ENDS

