MARITIM GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BERAS

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syamilah Salleh

TAWAU (25 JUN): Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup barangan kawalan ke negara jiran semalam.

Kejayaan itu menerusi penahanan sebuat bot kargo di perairan Batu Tiga Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Ariffin Ghazali berkata penahanan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang melibatkan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris di perairan tersebut.

“Bot dikesan berada kira-kira 0.75 batu nautika ke selatan Kuala Sungai Tawau dan hasil pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan oleh seorang juragan lelaki berusia 20 tahun bersama seorang pembantu berusia 25 tahun.

“Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah serta permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah 700 kampit beras seberat 10 kilogram setiap satu dan 30 kotak minyak masak dalam bentuk peket dengan anggaran berat 510 kilogram.

Kesemua muatan serta bot dan enjin telah disita, dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM30,000. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Tambah Ariffin, siasatan turut dijalankan berhubung elemen penyeludupan ke negara jiran susulan beberapa klip video tular di media sosial yang menunjukkan barangan dari Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa negara jiran.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia, terutamanya di perairan Timur Sabah (ESSZONE) bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim di perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di 089-752116 atau talian kecemasan 999.

TAMAT

Share This Article