sh@ Syamilah Salleh
LAHAD DATU: 24 Jun – Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta persendirian dan motosikal di Jalan Dam Lahad Datu, pada malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah,SUPT Jimmy Panyau berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.50 malam membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu oleh lelaki berusia 36 tahun dari arah Palm Height cuba memotong kenderaan lain.
Tetapi secara tiba-tiba, sebuah motosikal dari arah bertentangan muncul, menyebabkan pertembungan berlaku.
Katanya,penunggang dan pembonceng motosikal remaja lelaki berusia 19 tahun tercampak ke bahu jalan.
Penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian, manakala pembonceng hanya mengalami kecederaan ringan.
Manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Muhammad bin Harun di talian 089-881255.
Jimmy menasihatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, terutama dalam cuaca hujan dan jalan licin.
TAMAT
