70 PERATUS PESALAH DITAHAN DIPENJARA BERKAITAN KES PENYALAHGUNAAN DADAH

sabahheadlines
4 Min Read

sh@Syamilah Salleh
LAHAD DATU: 12 Jun – Sebanyak 70 peratus pesalah yang ditahan atau prospek yang yang ditahan di penjara adalah berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah.

Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Tey Hock Soon berkata, angka tersebut menunjukkan kadar yang amat tinggi dan membimbangkan.

“70 peratus adalah angka yang besar..pengulangan kemasukan balik ke penjara melibatkan kes dadah adalah amat tinggi. Jika Puratanya 10 individu yang masuk dan bebas.. tujuh daripadanya kembali ke penjara atas kesalahan yang sama, katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Pencegahan Pengurangan Jenayah dan Pembentukan daya tahan penghuni tahun 2025 Zon Sabah di Dewan Toh Puan Halidah penjara Lahad Datu pada petang rabu.

Senario ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keberkesanan pendekatan pemulihan sedia ada serta perlunya langkah pencegahan dan rawatan yang lebih berkesan dalam menangani isu penagihan dan pengedaran dadah.

Justeru penganjuran Program Pencegahan Pengulangan Jenayah dan pembentukan daya tahan penghuni Zon Sabah 2025 yang diadakan di sini
merupakan satu pelaburan sosial jangka panjang dalam usaha membina masyarakat yang lebih selamat dan inklusif.

Seramai 49 individu terdiri daripada prospek dan Orang Bebas Berlesen (OBB) Penjara Lahad Datu mengikut program tersebut.

Melalui program tersebut prospek diberi penekanan kepada pembentukan daya tahan (resilience) sebagai asas untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih positif dan produktif sebaik meninggalkan tirai besi terbabit.

Tey berkata, tanpa ketahanan mental dan emosi yang kukuh, ramai prospek mudah kembali ke kancah jenayah sebagai jalan mudah untuk terus hidup.

“Melalui pelaksanaan program pencegahan pengulangan ini, para prospek akan diberi peluang untuk menyedari potensi diri, mengenal pasti faktor pencetus kepada jenayah lalu, serta membina kemahiran untuk mengurus emosi dan tekanan hidup dengan lebih berkesan.

“Selain itu, program ini juga merupakan satu pelaburan sosial jangka panjang dalam usaha membina masyarakat yang lebih selamat dan inklusif,”ujarnya.

Menurut Tey, setiap aktiviti sepanjang hari pada program itu bertujuan memberi kefahaman kepada prospek mengenai punca dan kesan jenayah, membantu prospek mengenalpasti kekuatan dalaman, meningkatkan kemahiran interpersonal dan memberi sokongan psikososial yang strategik bagi mengelakkan pengulangan kesalahan.

Perubahan setiap prospek katanya,selari dengan hasrat jabatan Penjara sebagai Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan (Civilized Human Culture Development Centre).

Selain itu, melalui program-program pembangunan pemulihan dalam komuniti turut dapat merealisasikan visi Jabatan Penjara Malaysia iaitu 2/3 prospek penjara menjalani hukuman diluar tembok penjara menjelang tahun 2030.

Sementara itu, bercakap kepada media, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan keyakinannya bahawa setiap prospek akan kembali kepada masyarakat untuk membawa perubahan kelak.

“Mereka yang akan bebas ini memang boleh dipercayai, jadi orang yang baik dan kita percaya mereka akan kembali pada masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga menyeru agar prospek sentiasa memanfaatkan sokongan yang diberikan terutamanya daripada keluarga, komuniti, dan agensi yang terlibat yang sedia membantu prospek untuk bangkit semula.

Program bermula seawal pukul 8 pagi itu diisi dengan taklimat dari Perkeso, Forum Khas dan perkongsian usahawan bekas prospek.

Turut hadir, Pengarah Penjara Lahad Datu, PKK Kalbin Mohd Said.

TAMAT

Share This Article