PESTA KOKO ANTARABANGSA MALAYSIA JULUNG KALI DIADAKAN DI SABAH 24 – 27 MEI 2025.


KOTA KINABALU: 21 Mei – Lembaga Koko Malaysia (LKM) kini giat membuat persiapan akhir bagi menganjurkan Malaysian International Cocoa Festival (MICF) 2025, acara bertaraf antarabangsa yang julung kali akan berlangsung di Sabah,pada 24 hingga 27 Mei di Sabah International Convention. Centre ( SICC) Kota Kinabalu.

Festival ini dijadualkan bermula pada jam 10 pagi hingga 9 malam setiap hari dan masuk adalah percuma.

Menurut Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Hj Kasin berkata, objektif utama MICF 2025 adalah untuk mengangkat industri koko negara ke tahap yang lebih tinggi, seterusnya menjadikannya penyumbang utama kepada ekonomi negara.

“Kita mahu Lembaga Koko Malaysia melalui transformasi ke tahap prestasi unggul dan daya saing global sebagai pemacu utama kemajuan industri koko merentasi keseluruhan rantaian pengeluaranya dari peringkat huluan sehingga ke hiliran.

Jelasnya lagi, LKM menyasarkan agar nilai sumbangan industri koko kepada ekonomi negara kekal sekitar RM15 bilion, terutamanya dengan mengambil kira perkembangan positif harga pasaran koko global ketika ini.

Faktor peningkatan produktiviti, inovasi berterusan serta pengadaptasian hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) strategik turut memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran ini.

LKM turut menekankan peranannya sebagai agensi peneraju dalam bidang R&D di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam penghasilan biji koko premium serta produk berasaskan koko dalam sektor kesihatan dan kosmetik, yang kini mampu bersaing di pasaran global bernilai tinggi.

MICF 2025 dijangka menjadi platform terbaik untuk melonjakkan jenama koko Malaysia ke persada dunia. Antara acara yang akan berlangsung sepanjang festival ini termasuk pameran melibatkan lebih 150 pempamer tempatan dan antarabangsa, persidangan koko yang dijangka menghimpunkan 1,000 peserta dari dalam dan luar negara, serta majlis makan malam industri bagi tujuan jaringan perniagaan.

Festival ini juga akan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan untuk seisi keluarga seperti demonstrasi pembuatan coklat “bean-to-bar”, bengkel, serta acara hiburan yang menampilkan artis terkenal Faizal Tahir.

MICF 2025 turut menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, termasuk sebuah kereta, dua buah ATV, sebuah motosikal dan lebih 150 hadiah lain. Sebuah acara larian kecergasan bertemakan koko, dikenali sebagai “Choco Rush”, turut dijadualkan berlangsung sempena festival ini.

Penganjuran MICF 2025 mendapat sokongan penuh daripada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Pelaksanaan acara ini turut disokong oleh para pemain industri koko dan rakan strategik yang menyumbang kepada kejayaannya.

Sabah dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri ini menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko Malaysia, sekaligus menjadikan MICF 2025 sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan negara ini sebagai hab koko serantau di Asia.

Seluruh rakyat Malaysia, terutamanya warga Sabah, dijemput hadir dan memeriahkan MICF 2025 bersama keluarga.

Festival ini memberi peluang untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat industri koko negara daripada kebun hingga ke produk bertaraf dunia.