PENDAKI WANITA BERJAYA DUSELAMATKAN

sabahheadlines
2 Min Read

SYARMILAH SALLEH

RANAU (7 Mei): Seorang pendaki wanita tempatan berumur 41 tahun mengalami kecederaan di bahagian tengkuk selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Kinabalu, dalam satu kejadian yang berlaku sekitar KM6 laluan dari Laban Rata, pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian Balai, pukul 8.30 pagi daripada Malim Gunung yang memaklumkan insiden tersebut.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, termasuk unit Mountain Search and Rescue (MoSAR), dikejarkan ke lokasi dan tiba 9 pagi bersama anggota dari agensi penyelamat lain iaitu PARK–SAR.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Willy Wilson Jafry berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan menyelamat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian tengkuk.

Rawatan awal telah diberikan di tempat kejadian termasuk pemakaian alat sokongan C-Collar pada leher mangsa.

“Mangsa dibawa turun menggunakan kaedah ‘Robinson Stretcher’ hingga ke Timpohon Gate sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut di hospital,” jelasnya.

Operasi menyelamat yang melibatkan enam anggota dari BBP Ranau (MoSAR) tamat sepenuhnya pukul 12.45 tengah hari.

Jarak lokasi insiden ke pangkalan operasi dianggarkan sejauh 500 meter.

Mangsa yang mempunyai berat 57 kilogram dan merupakan warganegara Malaysia kini dirawat di hospital bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya.

Operasi turut dibantu oleh tiga anggota dari pasukan penyelamat taman (PARK–SAR).

TAMAT

Share This Article