SEJUMLAH 15,000 MINYAK PETROL DISYAKI SELUDUP – MARITIM

sabahheadlines
2 Min Read

OLEH: JALIE MOHAMAD

SANDAKAN – Sebuah vesel disyaki membawa kira-kira 150,000 liter minyak petrol tanpa kebenaran sah telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sandakan petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, penahanan dilakukan pada jam 5.15 petang oleh Kapal Maritim (KM) PERINGGI dalam operasi bersepadu iaitu Op SEJAHTERA 1/2022, Op PLUTO TIMUR 2/2013, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara COVID-19 dan Op TIRIS 3.0.

“Sebuah vesel dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira 9.5 batu nautika dari barat laut Tanjung Bidadari. Pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan empat awak-awak, terdiri daripada tiga warga Malaysia dan dua warga Filipina, berumur antara 22 hingga 64 tahun,” katanya.

Tambah beliau, kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis bagi membawa muatan minyak petrol yang dianggarkan sebanyak 150,000 liter. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Vesel, bersama tekong dan awak-awak, telah ditahan serta diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut. Mereka tiba sekitar jam 11.00 malam.

Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai jenayah maritim diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

Tamat

Share This Article