SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH
15 Mac 2025
TUNGKU: Pemimpin di seluruh Sabah digesa agar lebih peka terhadap keperluan rumah ibadat, khususnya surau dan masjid, yang mengalami kerosakan serta keusangan dari segi peralatan dan struktur bangunan.
Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Suling Isib, menekankan bahawa rumah ibadat, terutamanya di kawasan luar bandar, memerlukan perhatian dan bantuan segera.
“Keprihatinan terhadap rumah ibadat amat penting, bukan sahaja untuk keperluan semasa tetapi juga untuk kesejahteraan jangka panjang. Para pemimpin harus mengutamakan kebajikan rumah ibadat tanpa mengira agama, agar setiap komuniti dapat beribadah dengan selesa dan aman,” katanya.
Suling, yang juga Ketua Gabungan Rakyat sabah (GRS) Sabah zon Tungku, berkata demikian selepas mengadakan lawatan serta menyampaikan sumbangan di masjid felda sahabat dan beberapa masjid dan surau di sekitar Tungku pada Khamis lalu.
Sumbangan berupa wang tunai dan kurma diberikan kepada masyarakat Islam di kawasan tersebut bersempena bulan Ramadan, selain membuka ruang untuk beramah mesra dengan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Suling turut menegaskan bahawa STARSABAH tidak berkompromi dalam isu 3R (agama, kaum, dan institusi diraja) dan menolak sebarang usaha membawa isu sensitif tersebut di Sabah.
“Kita harus menghargai serta meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negeri ini. Sikap saling Hormat menghormati dan berkasih sayang adalah kunci utama dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
