LIMA PERTUDUHAN GAGAL PATUHI NOTIS BAHAYA KEBAKARAN, SYARIKAT DIDENDA RM16,000

sabahheadlines
2 Min Read

KUNAK, 17 NOVEMBER 2026: Sebuah syarikat didenda keseluruhan RM16,000 selepas dikenakan lima pertuduhan gagal mematuhi Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah.

Tindakan pendakwaan itu membabitkan dua cawangan premis syarikat berkenaan dan dikendalikan di Mahkamah Majistret Kunak.

Daripada lima pertuduhan dikemukakan, dua pertuduhan membabitkan cawangan pertama, manakala tiga lagi melibatkan cawangan kedua.

Prosiding di hadapan Majistret Tuan Nur Asyraf Bin Zolhani menyaksikan cawangan pertama dikenakan denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah RM7,000.

Sementara itu, cawangan kedua dikenakan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan, dengan jumlah keseluruhan RM9,000.

Kesemua pertuduhan adalah berkaitan kegagalan mematuhi Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran di bawah Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

JBPM Negeri Sabah menegaskan bahaya kebakaran bukan hanya merujuk kepada kejadian kebakaran yang telah berlaku, malah turut merangkumi sebarang keadaan atau perbuatan yang berpotensi mewujudkan risiko kebakaran serta mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.

Sehubungan itu, pemilik dan pengurusan premis diingatkan supaya mengambil tindakan segera terhadap sebarang bahaya kebakaran yang dikenal pasti bagi mengelakkan risiko kepada penghuni dan orang awam.

JBPM Negeri Sabah turut menegaskan akan terus mempergiat pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan bagi memastikan semua premis mematuhi keperluan keselamatan kebakaran yang ditetapkan undang-undang.

Share This Article