TUARAN, 16 November – Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika melakukan aktiviti mandi-manda di River Bothung View Campsite, Kiulu petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pasukan bomba memberikan bantuan awal pernafasan dan peredaran darah (CPR).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang sebelum enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.46 petang dan mendapati mangsa sudah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 5.11 petang.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.21 petang.
