STORM STRIKES MUNCUL JUARA KEJOHANAN BOLA JARING VETERAN CLASSIC 2026

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 8 November – Pasukan Storm Strikes Netball Club muncul juara Kejohanan Bola Jaring Veteran Classic 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Komuniti Libaran, Batu 12, di sini hari ini.

Kejohanan anjuran Storm Strikes Netball Club itu menyaksikan penyertaan tujuh pasukan iaitu Storm Strikes, Rimba Squad Netball, Thunderbolt, Basta Bouncer, Maganda Besties, Court Queen dan Duchess dari Kota Kinabalu.

Dalam saingan tersebut pasukan Duchess menduduki tempat kedua manakala Thunderbolt berada di kedudukan ketiga.

Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan golongan veteran dalam aktiviti sukan malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.

Pengerusi Penganjur, Nur Shahnung binti Laram Shah berkata, kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk penaja dan individu yang menyumbangkan bantuan dalam bentuk kewangan, barangan serta sokongan moral.

Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, pemain, pengadil, urus setia, petugas serta semua pihak yang memberikan kerjasama dan komitmen bagi memastikan kejohanan itu berjalan lancar.

Menurutnya, sokongan dan sumbangan semua pihak amat bermakna dalam menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan.

Storm Strikes Netball Club berharap kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memartabatkan sukan bola jaring selain memperkukuh semangat perpaduan dan persahabatan dalam kalangan komuniti.

Share This Article